Monday, 18 March 2013

INGGERIS GUNA ULAMA HASUT SULTAN

1954.

Aku menuntut di sekolah menengah agama Islam - Daeraul Maariful wataniyah, Kepala Batas.Seberang Perak. Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim, adalah di antara guru guru tempat aku mneimba ilmu pengetahauan Islam. 

Di rumah Sheikh Abdullah Fahim, aku telah berkenalan dengan Raja Muda Perak, Raja Idris Shah ibnu Sultan Alang Iskandar Shah ( Sultan Negeri Perak pada 1963 - 1984). Baginda telah datang menemui Sheikh Abdullah Fahim bersama dua orang adiknya, iaitu Raja Ahamad Saifuddin atau Tengku Tan dan Raja Ismail. Mereka telah datang menemui ulama itu kira-kira dua kali dalam sebulan. Raja Idris Shah telah belajar ilmu-ilmu agama kepadanya sebagai menyambung ilmu yang mereka telah belajar kepadanya.

Raja Idris Shah dan adik-adiknya telah menunaikan amanat ayahanda mereka, Almarhum Sultan Alang Iskandar Shah yang mahu mereka memandang Sheikh Abdullah Fahim sebagai guru, bapa dan datuk mereka sendiri.
Pada tahun 1930-an Sheikh Abdullah Fahim telah berkhidmat sebagai mudir (pengetua) sekolah agama - Madrasah Idrisiyah -, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.Di antara murid-muridnya, ialah Raja Idris Shah dan adinda Baginda, Raja Ahamd Saifuddin. Semasa di Bukit Chandan, telah berlaku perselisihan pendapat antara Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Tahir Jalaluddin dan beberapa orang lagi dengan ulama dari golongan yang menyebelahi kerajaan Inggeris. Ulama-ulama itu digelar oleh orang-orang Melayu yang anti Inggeris ’ulama tembolok’ atau ’ulama union jack’.

UNDANG - UNDANG 99
 
Pada suatu hari Sheikh Abdullah Fahim, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Muhammad Zain dan Haji Nawawi Muhammad telah diundang oleh Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar Shah ke istana Baginda, iaitu Istana Iskandariyah lama (kini muzium Diraja) untuk membincangkan hajat Baginda bagi memperkemas dan mengamalkan undang-undang tubuh Negeri Perak(law of the land), iaitu Undang-undang 99 – Papers On Malay Subject - , yang telah diguna-pakai pada zaman sebelumnya. Undang-undang Islam itu meliputi undang jenayah atau hudud atas perbuatan bunuh orang, perbuatan zina, mencuri dan sebagainya.

Pada keesokkan harinya, Residen British telah menjemput alim ulama yang menyokong Kerajaan Inggeris ke pejabatnya. Residen itu telah menghasut mereka, konon Sheikh Abdullah Fahim mengetuai alim ulama anti Kerajaan Inggeris untuk menjatuhkan Sultan Perak.

Kemudiannya, sepucuk surat rahsia dari Residen British telah disampaikan oleh ulama-ulama itu kepada Sultan Iskandar Shah. Baginda telah bertindak seperti Sultan Melayu Melaka, pada tahun sebelum tahun 1511, dengan tidak usul periksa, Baginda telah mengeluarkan perintah menghalau Sheikh Abdullah Fahim keluar dari negeri Perak dalam tempoh 24 jam.

Setelah Sheikh Abdullah Fahim pulang ke Kepala Batas, semua telaga dan bekalan air di Istana Iskandariyah dan seluruh Bukit Chandan telah kering. Perkara itu telah disembahkan kepada Sultan Iskandar Shah yang sedang berada di Ipoh oleh Orang Besar Negeri Perak, Dato’ Temenggung, Wan Hamaruddin.

KEBURUKAN ORANG LAIN
 
Sebaik-baik sahaja menerima khabar demikian, Baginda telah sedar akan kesilapannya yang terburu-buru mengeluarkan perintah. Sultan Iskandar telah memerintahkan Orang-Orang Besar Negeri, di ketuai oleh Temenggong, Wan Hamaruddin telah pergi menjemput Sheikh Abdullah Fahim supaya kembali semula ke Bukit Chandan. Tetapi Sheikh Abdullah Fahim telah menolak jemputan diraja itu. Dia telah memberitahu Orang-Orang Besar itu supaya pulang dan air akan ada semula, ”...insya Allah”.

Semenjak kejadian itulah, Sultan Alang Iskandar Shah telah memaklumkan kepada putera-putera Baginda supaya memandang dan mengakui Sheikh Abdullah Fahim sebagai bapa dan datuk mereka.

Selama aku belajar di Daeratul Maariful Wataniyah, Kepala Batas, aku telah mendapati Sheikh Abdullah Fahim seorang ulama yang telah dianugerahkan Allah dengan keperibadian mulia yang patut dicontohi oleh setiap individu muslim, iaitu:

(1) Suka menolong orang yang susah dan memerlukan pertolongannya.
(2) Menghormati orang lain walaupun lelaki China atau India yang tua dan keadaan bangsat.
(3) Menghormati orang lain, walau pun orang itu lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya.
(4) Tidak mengumpat dan tidak suka mendengar orang mengadu kan keburukan orang lain kepadanya.
(5) Telus mata hati atau kasyaf, iaitu dapat melihat sesuatu akan berlaku pada masa depan (tidak semua).
(6) Tidak memburukkan orang lain atau merendah-rendahkan mereka.
(7) Doanya sentiasa dikabulkan oleh Allah. Hal ini telah dibuktikan oleh orang-orang yang memohon Allahyarham berdoa bagi mendapatkan sesuatu hajat.
(8) Aku sendiri telah menyaksikan akan kejadian-kejadian yang telah berlaku dari makbul doanya dan kekeramatannya.
(9) Mudah memaafkan kesalahan orang- orang yang melakukan keburukan terhadapnya.
(10) Tidak cenderung kepada kemewahan hidup dan redha hidup dalam keadaan berpada-pada atau sederhana.

Abdullah Badawi telah mempunyai keperibadian seperti datuk dan bapanya. Mereka yang baru mengenali beliau tentulah tidak akan dapat memahaminya, tetapi kalau orang yang telah lama bergaul dengan beliau, tentu mengakui, ’kemana jatuh kuah kalau tidak ke nasi’.
 
PERLEMBAGAAN SKULAR BARAT

Sekitar tahun 1954 dan hingga Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, pad 31 Ogos 1957, aku mendapati sebilangan dari alim ulama, sama ada yang berjuang dalam UMNO, mahupun dalam PAS dan yang tidak berparti politik, mereka mempunyai hasrat yang besar untuk duduk di bawah pemerintahan Islam dengan perlembagaan Islam yang berdasarkan al Quran dan as Sunnah.

Alim ulama yang berjuang dalam UMNO, sekadar sementara sahaja.Tunku Abdul Rahman sendiri telah mengakui kepada mereka, apabila Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan, maka proses untuk mejadikan Tanah Melayu sebuah Negara Umat Islam akan dilakukan. Perlembagaan Sekular Barat - yang dicipta oleh orang Kristian dan Yahudi,’alamiyah atau duniawiyah seperti yang ditarifkan oleh bangsa British, iaitu gerakan yang menumpukan hidup di dunia dan membelakangi akirat’ (D. Hussein Fauzi, 1985Ad Daulatun wak hukmu fi Islam, Kahirah, Darul Huniyah,hlm:13).
, tidak akan diguna pakai lagi.

Semenjak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 dan dipimpin oleh Onn Jaafar dan hingga Tungku Abdul Rahman telah mengambil alih kepimpinan UMNO pada tahun 1951, ramai alim ulama turut berjuang dalam parti kebangsaan Melayu itu. Di antara mereka itu, Sheikh Abdullah Fahim (Seberang Perai), Haji Abdul Rahman Merbuk, Haji Hussein Che’ Dol (Kedah), Sheikh Fadzlullah Shuhaimi (Terengganu), Haji Ahmd Fuad Hassan (Perak), Haji Abdul Jalil Hassan (Johor), Haji Ahmad Badawi, Haji Ahmad Maliki (Seberang Perai) dan Ustaz Abu Bakar Ashaari (Perlis).

Apabila Tunku Abdul Rahman memimpin UMNO dan hingga kepada tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, ramai alim ulama dalam UMNO telah meninggalkan parti politik itu; ada yang menyertai PAS dan ada pula yang tidak menyertai mana-mana parti politik.
 
PARTI POLITIK MELAYU

Semenjak tahun 1953 hingga tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, aku telah meninjau pendapat dari ramai alim ulama yang telah meninggalkan UMNO tentang mengapa mereka meninggalkan parti politik tersebut. Jawapan mereka adalah sama, iaitu kecewa dengan hala tuju UMNO yang telah mengenepikan hasrat mereka untuk menegakkan Negara Islam.

Sheikh Abdullah Fahim dan anaknya Haji Ahmad Badawi tidak berputus harapan; mereka yakin, lambat laun Persekutuan Tanah Melayu akan beralih kepada sebuah Negara Islam. Mereka juga yakin, bahawa perubahan ke arah menjadikan Kerajaan Persekutan Tanah Melayu (kemudian Malaysia) sebuah Negara Islam, memerlukan pemimpin dan ahli-ahli parti politik Melayu yang menerajui kerajaan yang mempunyai kefahaman yang mendalam akan ilmu pengetahuan Islam dan ada kekuatan iman.

Para ulama yang tidak menyertai UMNO itu, rata-rata berpendapat, bahawa sekiranya negara yang dipimpin oleh UMNO tidak berubah kepada sebuah Negara Islam, iaitu mengguna-pakai perlembagaan dan perundangan Islam yang berdasarkan al Quran dan as Sunnah, walau bagaimana makmur sekalipun negara itu, ia tidak akan mendapat keampunan dan keredhaan dari Allah, iaitu ’Negara bertuah dan Allah Maha Pengampun’(Quran - Saba: 15). .

Negara yang tidak mendapat keampunan Allah, walau bagaiamana kaya raya, makmur, tetapi rakyat tetap tinggal menderita, sentiasa ditimpakan segala macam angkara oleh Allah, termasuk perbuatan rasuah, tidak jujur dan tidak amanah dalam pemerintahan atau kerajaan.*

* Dari manuskrip buku, Memor Penulis, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah.

No comments:

Post a Comment